Cara Istikhlaf Dalam solat Istikhlaf

Apabila seorang mustakhlif menggantikan imam dalam solat yang sama atau bilangan rakaat yang sama, maka sah penggantian tersebut di mana-mana rakaat pun kerana mustakhlif itu mengikuti tertib imam sebelumnya dan tidak membawa kepada percanggahan.

Adapun jika diganti oleh seorang yang di luar solat (mustakhlif bukan daripada kalangan makmum, dan terus masuk menjadi imam), maka menurut pendapat Imam Nawawi dan jumhur ulama adalah diharuskan istikhlaf dengan syarat mustakhlif tersebut menggantikan imam pada rakaat pertama, atau rakaat ketiga (pada solat yang empat rakaat) kerana tidak akan bercanggah dengan tertib makmum yang mengikutinya.

Jika berlaku percanggahan dalam tertib, maka tidaklah diharuskan istikhlaf. Contohnya ialah apabila seorang yang di luar solat mengganti imam pada rakaat kedua atau rakaat terakhir, dan dia (pengganti) itu akan bangun berdiri bagi rakaatnya yang pertama sedangkan makmum yang lainnya duduk tahiyat awal (atau tahiyat akhir) di rakaat mereka.

Jika makmum yang masbuq menggantikan imam yang keluar daripada jemaah hendaklah dia menjaga tertib imam tersebut, sebagaimana perbuatannya jika imam belum keluar daripada jemaah. Sebagai contoh, jika makmum yang masbuq pada rakaat kedua dalam solat subuh, kemudian imam itu berhadas lalu diganti oleh makmum yang masbuq itu, maka makmum yang menggantikan itu hendaklah menjaga tertib imam pertama dengan menyambung perbuatan sebagaimana yang perlu dilakukan di dalam rakaat kedua dalam solat subuh iaitu berqunut, duduk dan bertasyahud biarpun pada asalnya dia baru melakukan satu rakaat.

Selepas itu baharulah mustakhlif yang masbuq itu bangkit semula (tanpa salam) untuk menggenapkan solat dua rakaatnya, lalu berqunut lagi pada rakaat keduanya itu bagi dirinya sendiri sahaja (doa qunut bersendirian dan bukan qunut berjemaah). Para jemaah yang mengikuti mustakhlif yang masbuq tersebut ada dua pilihan pada tahiyyat akhir tadi iaitu sama ada berniat mufaraqah (berpisah daripada imam) dan terus memberi salam, ataupun duduk menunggu mustakhlif itu dan memberi salam bersama-samanya.

Makmum-makmum masbuq yang bangkit semula untuk menyempurnakan solat mereka setelah sempurna solat berjemaah adalah diperbolehlah kepada salah seorang daripada mereka yang masbuq itu untuk maju ke hadapan menjadi imam dan makmum masbuq yang lain itu boleh mengikutinya. Istikhlaf sebegini adalah diharuskan kecuali dalam solat Jumaat kerana tidak harus mendirikan lagi solat Jumaat selepas selesai dikerjakannya.